Kerajaan telah membuat keputusan bahawa mulai Tahun 2010 calon yang menduduki peperiksaan SPM dihadkan mengambil maksimum 10 mata pelajaran. Murid-murid Agama Aliran Sains masih boleh mengambil 11 mata pelajaran pada Tahun 2010. Walau bagaimanapun, pada Tahun 2011 semua murid di semua aliran hanya dibenarkan mengambil maksimum 10 mata pelajaran.
Pihak KPM berpandangan dan memperhalusinya bahawa had 10 mata pelajaran adalah memadai bagi calon SPM mengikuti pelbagai aliran supaya fokus dapat diberikan kepada pembelajaran dan pengajaran.
Pelaksanaan menghadkan 10 mata pelajaran sebenarnya telah mengambilkira aspek pensijilan terbuka dengan memperkemaskan kaedah pemilihan mata pelajaran elektif secara lebih berfokus. Penambahbaikan dilakukan kepada pemilihan elektif mata pelajaran diperluaskan kepada semua aliran sekolah dengan menjadikannya lebih seimbang dan dinamik ke arah pembinaan modal insan. Sehubungan itu, konsep pensijilan terbuka yang sedia ada lebih terancang dan tersusun tanpa memerlukan dasar sedia ada ditarik balik.
Penambahbaikan secara khusus juga dilakukan kepada murid-murid aliran agama dengan menyediakan elektif mata pelajaran yang lebih berfokus dan tersusun tanpa mengikis asas aliran agama yang mereka ikuti. Hal ini kerana, semua murid lebih bersedia untuk memilih aliran yang sesuai seperti aliran agama sains, aliran agama teknikal dan aliran agama sastera/kemanusiaan.
Untuk makluman, berdasarkan syarat kemasukan ke institusi pengajian tinggi awam dan swasta adalah memadai dengan mengambil mata pelajaran elektif sains yang disediakan untuk membuat penjurusan ke bidang khusus. Contohnya untuk bidang Perubatan adalah memadai untuk mengambil mata pelajaran elektif sains iaitu Kimia, Biologi dan Matematik Tambahan. Manakala calon yang ingin mengikuti jurusan Kejuruteraan mereka bolehlah menggugurkan Biologi dan mengambil mata pelajaran elektif Fizik, Kimia dan Matematik Tambahan.
KPM telah mempeerhalusi implikasi penepatan jumlah maksimum mata pelajaran terhadap pilihan kerjaya dan pembangunan potensi murid secara holistik dengan turut mengambilkira pandangan ibu bapa, guru dan masyarakat umum mengenai hal ini.
Sememangnya KPM berpandangan dan percaya bahawa had 10 mata pelajaran adalah memadai bagi calon SPM mengikuti pelbagai aliran supaya fokus dapat diberikan kepada pembelajaran dan pengajaran tanpa menambah bilangannya kepada 12 mata pelajaran.
CORPORATE COMMUNICATION UNIT
MINISTRY OF EDUCATION
30 NOVEMBER 2009
No comments:
Post a Comment