Isu yang hangat diperkatakan sekarang ini ialah isu 'buang bayi'. Kalau dianalisis (analisis umum) maka dapat dikenal pasti bahawa individu yang terlibat membuang bayi ialah golongan perempuan remaja. Golongan remaja perempuan itu juga membuang disebabkan mengandung luar nikah, sama ada dengan lelaki sebaya, lebih muda ataupun dewasa dan tua. Nampak sekali bahawa dalam isu ini kaum perempuanlah yang terdesak. Terdesak disebabkan telah termengandung anak luar nikah yang mengakibatkan rasa malu, takut, takut kedapatan/ketahuan, malu ketahuan, dan macam-macam lagi seksaan perasaan akibat keadaan itu. Pasangan lelakinya juga kemungkinan besar berperanan mendorong dan mendesak agar perempuan itu membuang sahaja bayi malang itu...macam-macam cerita tentang isu ini boleh kita dengar, lihat dan baca melalui media elektronik mahupun bercetak.
Apabila gejala seperti ini mulai meningkat, maka pihak yang prihatin akan berusaha melakukan sesuatu untuk membendung gejala itu. Kalau kita teliti, langkah penggubalan undang-undang terhadap individu yang membuang bayi yang sedang diusahakan oleh kerajaan masa kini lebih kepada menghalang pembuangan bayi. Maksudnya, langkah ini cuba menghalang akibat, dan bukannya langkah rawatan terhadap akar umbi isu. Akar umbi permasalahan atau isu ini ialah perhubungan seksual di luar nikah. Umumnya, ia merupakan gejalan sosial-seks bebas dalam kalangan remaja perempuan (sebab pasangannya mungkin lelaki remaja ataupun lelaki dewasa dan tua bangka!).
Siapakah yang bertanggungjawab untuk menghalang seks luar nikah dalam kalangan remaja? Ibu bapa dan ahli keluarga? Pihak sekolah? Polis? Pihak kesihatan? NGO? Ramai berpendapat bahawa ibu bapa dan ahli keluarga adalah asas kepada langkah pencegahan seks luar nikah manakala pihak-pihak lain seperti sekolah, institusi agama, kerajaan dan badan-badan lain lebih berperanan sebagai penyokong institusi keluarga itu. Nampaknya pihak keluarga yang berperanan paling besar dalam hal ini! Ciri-ciri keluarga, susur galur keluarga, sosialisasi keluarga, ekonomi keluarga dan pelbagai lagi aspek kekeluargaan sememangnya membentuk dan mempengaruhi kemenjadian remaja.
Bagaimana pula dengan institusi lain seperti institusi agama dan sekolah? Apakah peranan mereka? Apakah peranan pihak sekolah? Tentunya pihak sekolah pun ada mengadakan program pencegahan gejala sosial tersebut. Persoalannya, bagaimana bentuk pencegahan yang dilaksanakan? Bagaimana strategi penyampaiannya ke atas murid sekolah? Bagaimana pula dengan keberkesanan langkah-langkah yang dilaksanakan itu? Bagi pihak sekolah, ramai berpendapat bahawa murid sekolah tidak sesuai didedahkan kepada bentuk-bentuk pencegahan atau kaedah pencegahan kehamilan. Ia seolah-olah mengajar pencuri untuk mencuri dengan lebih 'selamat'. Justeru, remaja di peringkat sekolah sepatutnya hanya didedahkan dengan akibat-akibat seks luar nikah, implikasi undang-undang berkaitan dan strategi peneguhan sosial (termasuk pegangan agama,nilai dan maruah diri, dan sebagainya) dalam kalangan murid sekolah.
Apa kata....