WELCOME to my page

Welcome! Kopisanangan! Vanakam! Salam!

Sunday, March 13, 2011

Tsunami Nuklear


Tsunami Nuklear

Tiga minggu lepas saya berbincang dengan pelajar Pra-US1 tentang kebaikan dan keburukan tenaga nuklear.  Dalam diskusi tersebut, pelajar  telah mengemukakan idea-idea yang agak bernas bahkan disokong oleh fakta-fakta dan perangkaan yang tepat.  Dalam perdebatan mereka  pelajar telah menjelaskan tentang fahaman konvensional terhadap tenaga nuclear. Fahaman konvensional terhadap nuklear ialah fahaman yang percaya bahawa nuclear mendatangkan keburukan semata-mata.  Tanggapan ini wujud dan sebati dengan masyarakat pada masa kini. Penyebab utama kepada tanggapan ini ialah kemudaratan dan bencana yang telah diakibatkan oleh nuclear iaitu penggunaan bom nuclear ke atas  Hiroshima dan Nagasaki semasa perang dunia ke-2. Fahaman negative terhadap tenaga nuclear juga disebabkan oleh bencana kebocoran loji nuclear di Chernobyl.
Pelajar telah membaca, memahami dan menganalisis beberapa artikel berkaitan tenaga nuclear. Artikel-artikel tersebut memperdebatkan kebaikan dan keburukan penggunaan dan pembangunan tenaga nuclear. Namun, analisis pelajar mendapati bahawa hampir semua artikel berkenaan pro kepada penggunaan tenaga nuclear. Salah satu artikel menekankan tentang pentingnya mengubah semula tanggapan negatif terhadap nuclear. Fahaman konvensional yang mengatakan nuclear adalah memudaratkan mesti disisihkan dari diri setiap ahli masyarakat. Satu artikel lagi membincangkan secara terperinci tentang potensi nuclear sebagai sumber tenaga hijau! Artikel ini menjelaskan bahawa penyelidikan terperinci telah berjaya mencipta kaedah penggunaan nuclear yang lebih selamat dan mesra alam.
Dalam artikel tersebut, penyelidik berkenaan mendedahkan tentang ciptaannya yang dipanggil sebagai ‘bateri nuklear’. Menurutnya, bateri nuclear cum sebesar peti ais yang ada di rumah anda. Teknik ‘penyimpanannya’ juga lebih canggih dan dikawal ketat oleh unsur-unsur keselamatan tercanggih. Lojinya juga tidak akan sama dengan loji konvensional yang pernah mendatangkan bencana suatu waktu dahulu apabila berlaku kebocoran radiasi. Dalam artikel lain, penulis menyokong penuh penggunaan tenaga daripada bateri nuclear. Penulis berhujah bahawa bateri nuclear dengan saiz yang kecil itu mudah dibawa ke serata dunia terutama ke negara-negara membangun yang amat memerlukan sumber tenaga. Penulis juga mengatakan bahawa bateri nuclear bersifat mesra alam kerana ‘sisa’ atau hasil sampingan daripada penghasilan bateri nuclear iseperti plutonium boleh digunakan untuk kegunaan lain.
Terdapat satu artikel  yang tidak bersetuju dengan penggunaan tenaga nuclear. Seperti aktivis alam sekitar, penulis berkenaan mengatakan bahawa penggunaan bateri nuclear itu terlalu banyak risikonya. Walau pun ia bersaiz kecil dan mudah dieksport atau diimport tetapi risiko ia jatuh ke tangan pengganas amatlah tinggi. Penulis juga melahirkan kegelisahannya iaitu ‘kotak’ bateri nuclear itu mungkin akan cair disebabkan radiasi uranium yang sangat dashyat kuatnya itu! Hujah penulis yang agak menarik juga ialah kos pembangunan tenaga nuclear yang sangatlah tinggi. Umpamanya ialah pembinaan dan pemasangan loji tenaga nuclear akan memakan jutaan malah berbilion ringgit. Begitu juga dengan kos penjagaan tahap keselamatan yang sangat tinggi, memerlukan teknologi termoden dan tercanggih dan tenaga pekerja mahir yang ramai. Dalam hujah balas, golongan pro tenaga nuclear membahaskan bahawa kos sememangnya sangat tinggi pada peringkat permulaan pembinaan tenaga nuclear tetapi kos pengurusannya selepas itu adalah rendah.
Golongan pro nuclear juga mengemukakan fakta bahawa bateri nuclear menghasilkan tenaga yang amat tinggi dan sangat lambat susut nilai. Satu bateri nuclear bersaiz peti ais di rumah akan mengambil masa berdekad lamanya untuk susut sedikit sahaja. Sedangkan penggunaan sumber tenaga lain seperti minyak akan sudah semakin kritikal. Penggunaan sumber tenaga yang lain seperti hidroelektrik pula akan mengakibatkan kemusnahan geo fizikal. Manusia juga tidak boleh bergantung kepada sumber biomas, angin, ombak dan matahari  kerana sumber ini tidak menjamin penghasilan tenaga yang berterusan. Tenaga daripada angin misalnya hanya terhasil jika angin ada bertiup secukupnya! Satu artikel tempatan juga menghujahkan bahawa tenaga nuclear wajar digunakan di Malaysia. Ini kerana bekalan arang batu dan minyak negara semakin berkurangan. Penulis tersebut mencadangkan bahawa tenaga nuclear patut dibina khususnya di Semenanjung Malaysia memandangkan ia dapat menjamin banda-bandar di sana terang-benderang selama 24 jam sehari!
Secara keseluruhannya, artikel-artikel dan hasil perbincangan pelajar-pelajar pra-us1 mencadangkan bahawa tenaga nuclear wajar digunakan dalam penghasilan tenaga. Secara peribadinya, saya sendiri masih mempunyai tanggapan konvensional terhadap tenaga nuclear tetapi sentiasa terbuka untuk  ‘difahamkan’ tentang kebaikannya. Siapa tahu suatu hari nanti saya sendiri akan benar-benar yakin bahawa tenaga nuclear selamat digunakan! Negara kita Malaysia juga dapat dilihat sedang berusaha untuk membawa tenaga nuclear ke negara ini. Sungguhpun pusat penyelidikan tenaga nuclear telah lama diwujudkan namun kesungguhan Malaysia ke arah penggunaan sumber tenaga nuclear untuk menghasilkan tenaga elektrik di negara ini semakin ketara.  
Walau bagaimanapun, bencana tsunami di negara Jepun 2 hari lepas mungkin mengubah hala tuju nuclear di negara ini. Bencana gempa bumi berukuran 9.0 sejauh 231 batu dari pantai utara Jepun itu telah mengakibatkan tsunami dashyat ke atas Jepun. Apa yang paling membimbangkan ialah bencana tersebut telah mengakibatkan salah satu loji penjana tenaga nuclear Jepun mencair disebabkan bekalan air penyejuk ke dalam loji terhenti. Kejadian tersebut mengakibatkan kebocoran radiasi radioaktif tenaga nuclear dan kesan buruknya sememangnya telah diketahui oleh semua orang! Ia seakan-akan sudah jatuh ditimpa tangga bagi negara Jepun dan rakyatnya. Ia adalah bencana dalam bencana!
Adakah bencana dalam bencana ini akan mengubah pemikiran dunia terhadap tenaga nuclear? Adakah bencana nuclear pada kali ini akan mematahkan semula keyakinan masyarakat dunia terhadap penggunaan tenaga nuclear? Sebaik sahaja bencana nuclear di Jepun ini diketahui, negara Amerika Syarikat sendiri telah menimbang semula sama ada mereka harus meneruskan penggunaan tenaga nuclear atau pun tidak. Bagaimana pula dengan negara kita? Apa pula pendapat anda?

Sekian. 

No comments:

Post a Comment